Pitas: Sebuah Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang pertama bagi negeri Sabah akan dibina di daerah Pitas, tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, anggaran kos pembinaan adalah berjumlah RM6.9 juta dan dapat menempatkan seramai lebih kurang 500 mangsa pada satu-satu masa.
“Bagi negeri Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah memutuskan projek rintis pertama dilaksanakan di daerah Pitas. Anggaran kos pembinaan adalah berjumlah RM6.9 juta dan dapat menempatkan seramai lebih kurang 500 mangsa.
“PPKB akan mempunyai persekitaran dan kemudahan yang lebih baik berbanding PPS dan pusat ini akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan, ruang khas wanita, bilik pentadbiran dan petugas, stor makanan dan keperluan asas, bilik rawatan dan surau,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak lokasi PPKB, Pitas, hari ini.
Untuk rekod, Armizan berkata, pembinaan PPKB merupakan komponen penting dalam persiapan menghadapi bencana adalah penyediaan pusat penempatan bagi mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan keluar daripada lokasi kejadian semasa bencana berlaku buat sementara waktu seperti bencana banjir dan kebakaran besar.
“Pusat-pusat ini meliputi sekolah, balai raya, dewan masyarakat dan premis awam lain yang bertaraf Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mempunyai kemudahan terhad dan kurang kondusif sebagai tempat tinggal sementara,” katanya.
Deasoka