Perselisihan pendapat hanya bantutkan tuntutan 40% Sabah

Perselisihan pendapat hanya bantutkan tuntutan 40% Sabah

Kota Kinabalu: Semua pihak perlu mengambil pendekatan memilih titik tengah dalam menyelesaikan perkara tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada negeri ini.

Penganalisa Politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, ini bukannya masa untuk menyalahkan sesuatu pihak dan perlu menyakini proses sedia ada.

Jelasnya, ini kerana dikhuatiri perselisihan pendapat di antara pemimpin akan mampu membantutkan proses tersebut.

“Apa pun interpretasi pemimpin kerajaan mahupun pembangkang berkaitan pemberian khas atau tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri, rakyat berharap adanya kerjasama untuk memastikan hak-hak Sabah dimartabatkan dan dipikul bersama oleh mereka.

“Cari titik tengah untuk menyelesaikan perkara ini kerana tohmahan, dakwaan atau sebagainya yang melambatkan proses tuntutan akan membawa kerugian kepada rakyat.

“Sehubungan itu, adalah lebih baik mempercayai proses yang dilakukan, tinjau dengan lebih dekat dan sekiranya berlaku ketirisan, buatlah aduan ke peringkat tertinggi…bukannya membuat tuduhan yang kemudian disebarkan menerusi dakyah di media sosial, “katanya.

Untuk rekod, pada April tahun 2022, kenyataan bersama di antara Perdana Menteri ke-sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakoob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan sudah ada kesepakatan dalam kajian semula pemberian khas kepada negeri ini di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Dalam persetujuan tersebut, antara yang dibangkitkan adalah berhubung rundingan terus tuntutan 40 peratus daripada hasil negeri serta kenaikan amaun pemberian khas kepada Sabah sebanyak 4.6 kali ganda yakni RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|