Perkasakan UMNO, pulihkan keyakinan rakyat – Mohd Rafi

Perkasakan UMNO, pulihkan keyakinan rakyat – Mohd Rafi

Labuan: UMNO Bahagian Labuan perlu diperkasakan dan dipulihkan imejnya yang sebenar agar parti keramat ini kembali menjadi juara dan pilihan rakyat di pulau bebas cukai itu kata Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Mohd Ali Hassan.

Katanya, walaupun baru mempimpin bahagian itu, namun pengalaman ketika menjawat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Labuan sebelum ini memberikan pengajaran dan iktibar dipelajari untuk memahami aspirasi rakyat, khususnya ahli parti di bahagian itu.

Mohd Rafi mengetuai majlis angkat sumpah jawatan pada mesyuarat pertama UMNO bahagian Labuan bagi sesi 2023-2026

“Saya memahami, saya mengetahui dan mendalami semua aspek, untuk itu tidaklah saya menjanjikan diluar kemampuan saya.

“Apa yang penting sokongan serta semangat berkerja satu pasukan adalah nadi utama UMNO Labuan dapat diperkasakan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan oleh ahli-ahli parti di peringkat akar umbi yang telah meletakkan kita sebagai pemimpin bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di mesyuarat pertama UMNO bahagian Labuan bagi sesi 2023-2026 dan majlis angkat sumpah jawatan, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi, peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO bahagian Labuan yang memilih beliau sebagai Ketua Bahagian akan digalas dengan penuh dedikasi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat khususnya ahli-ahli UMNO.

“Sudah pasti ikrar ini bukan sahaja untuk diri saya sendiri, namun semua barisan dalam kepimpinan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan bagi memberikan perkhidamatan yang terbaik dan berkualiti kepada ahli,” katanya.

Beliau menjelaskan UMNO, khususnya UMNO Labuan, memerlukan kaedah baharu dalam perjuangan parti terutamanya mendekati rakyat dan pengundi muda tidak hanya bergantung dengan kaedah lama.

“Saya mengajak rakan kepimpinan sayap-sayap parti Wanita Pemuda dan Puteri agar berkerja kuat dan bersemangat dengan beberapa perubahan yang disentuh dalam mesyuarat kali ini.

“Untuk direalisasikan, memulihkan semangat dan keyakinan rakyat untuk berjuang bersama UMNO,” katanya.

Tambah beliau, seluruh keluarga besar UMNO perlu mengukuhkan semula hubungannya dari segala kekhilafan lalu dimana pemimpin dan ahli perlu saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan semula rakyat terhadap parti itu.

“Mulai hari ini, sama-sama kita kukuhkan hubungan kita semula dari sebarang kekhilafan dan bersatu sebagai sebuah keluarga besar UMNO.

“Serta saling berkerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti kita dengan melupakan kisah pemilihan parti yang lalu ini kerana di dalam parti tidak ada istilah yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Yang penting ialah agenda meletakkan kepentingan parti adalah keutamaan prinsip kesetiaan serta perjuangan perlu sentiasa dipelihara,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|