Peranan wanita dalam gerakan badan bukan kerajaan perlu diperkasa – Perkasa

Peranan wanita dalam gerakan badan bukan kerajaan perlu diperkasa – Perkasa

Kota Kinabalu: Peranan kaum wanita terutamanya dalam gerakan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkasakan bagi meningkatkan keupayaan organisasi dalam membangunkan masyarakat.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Sabah, Madsah Awang Aman berkata, pihaknya sedang mengenal pasti golongan wanita di negeri itu yang mempunyai aspirasi yang selari dengan tujuan penubuhan Perkasa untuk diserapkan ke dalam barisan kepimpinan pertubuhan tersebut.

“Kami sedang mengenal pasti wanita-wanita yang bersemangat tinggi membela nasib bangsa untuk diserapkan dalam barisan kepimpinan Perkasa Sabah.

“Peranan kaum wanita sangat penting terutamanya dalam konteks pembangunan masyarakat yang pada ketika ini dipelopori oleh gerakan badan bukan kerajaan.

“Perkasa Sabah akan bergerak secara menyeluruh untuk menambah keahlian baru terutamanya daripada kalangan wanita,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau, Perkasa Sabah juga telah mengambil langkah melantik Timbalan Yang Dipertua Perkasa Sabah yang pertama daripada kalangan wanita, iaitu Marlina Majid sebagai sebagai tanda keyakinan badan bukan kerajaan itu terhadap peranan kaum wanita di negeri berkenaan.

Katanya, ia sekaligus turut melakar sejarah baharu buat Perkasa Malaysia yang menyaksikan Marlina sebagai wanita pertama di seluruh negara yang dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua di peringkat negeri.

“Saya mengumumkan telah melantik seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Perkasa Sabah iaitu Marlina Majid yang juga merupakan Ahli Dewan Tertinggi Perkasa Malaysia, menjadikan beliau adalah wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Perkasa dalam Malaysia.

“Ia telah disahkan oleh Presiden Perkasa bahawa Marlina adalah wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Perkasa Negeri dan Presiden memberi sokongan.

“Kerana beliau melihat komitmen Marlina dalam menggerakkan program-program Perkasa Pusat dan Perkasa Sabah sebelum ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Perkasa Sabah turut mencatatkan bilangan penyertaan ahli seramai 40,000 orang sejak penubuhannya di Sabah pada tahun 2010.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|