Penghidap SLE hadapi cabaran demi segulung ijazah

Penghidap SLE hadapi cabaran demi segulung ijazah

KOTA KINABALU: Dunia Affenazilla Hardey gelap seketika apabila telah disahkan menghidapi Systemic Lupus Erythematosus (SLE) sewaktu pengajian sehingga menyebabkan sebelah kakinya mengalami kesukaran bergerak.

Namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus cekal menamatkan pengajiannya dalam program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Dengan Kepujian (Ekonomi Kewangan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Affenazilla merupakan antara 4,236 graduan yang menerima penganugerahan ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.

Beliau ketika ditemui selepas majlis tersebut memberitahu sepatutnya bergraduasi pada tahun lalu tetapi terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun disebabkan menjalani pembedahan pada kaki kiri akibat jangkitan kuman.

“Semuanya bermula pada semester lima pengajian apabila selama tempoh tiga bulan saya terlantar sakit dan ditahan di wad sehingga terpaksa menangguhkan latihan industri.

“Pensyarah dan rakan-rakan yang banyak memberi dorongan untuk meneruskan pengajian, malahan ada yang berkongsi salinan nota dan maklumat berkaitan topik sepanjang ditahan di hospital,” katanya.

Affenazilla turut berkongsi bahawa ada satu ketika dia pernah berputus asa dan ingin berhenti daripada pengajian.

“Ini kerana walaupun sudah menjalani pembedahan, namun kaki saya masih belum pulih secara sepenuhnya, dan memerlukan rawatan kemoterapi selama berbulan-bulan di hospital.

“Namun ibu yang menasihati agar saya terus kekal tabah menghadapi dugaan yang dihadapi, membuatkan saya terus bersemangat untuk menghabiskan pengajian di UMS,” katanya.

Ujarnya lagi, sebagai anak bongsu daripada empat beradik, beliau menganggap dirinya sebagai harapan terakhir dalam keluarganya untuk menggenggam segulung ijazah, selain turut berhasrat untuk terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|