PBS, STAR komited perkukuh GRS

PBS, STAR komited perkukuh GRS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencapai kata sepakat untuk memperkukuh lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu hari ini, selain sokongan tidak berbelah bahagi kepada GRS, pihaknya turut senada dalam beberapa perkara yang lain.

Menerusi kenyataan itu juga, PBS dan STAR turut memulakan perbincangan rasmi pengwujudan persefahaman dan kerjasama diantara kedua-dua parti.

“Antaranya adalah menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Malah kesepakatan ini turut melibatkan kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha di atas sebelum PRN pada 2020,” kata kenyataan bersama berkenaan.

Kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi ini dicapai dalam pertemuan diantara pemimpin kedua-dua parti pada 15 November 2023.

Kedua-dua parti telah memberi amanah kepada lima pemimpin untuk mewakili parti masing-masing dalam perbincangan itu.

PBS akan diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan YB Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita, Datin Malianah Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda, Christoper Mandut.

Manakala Parti STAR diwakili oleh Naib Presiden/Pengarah Strategik, Dr Paul Porodong, Setiausaha Agung Datuk Edward Linggu, Ketua Penerangan Datuk, Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Flovia Ng, dan Ketua Pergerakan Pemuda, Kong Soon Choi.

Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|