KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyediakan kepelbagaian modal insan negeri ini untuk melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, pembangunan modal insan amat penting untuk pertumbuhan dan pembangunan lestari Sabah, yang akan menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk, menggalakkan keterangkuman sosial, serta meletakkan negeri ini lebih kompetitif di peringkat global.
Sehubungan itu katanya, Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan yang penting dalam usaha membangunkan modal insan yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negeri.
“TVET kini bukan sekadar melengkapi individu dengan kemahiran tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, selain memupuk inovator, usahawan dan pekerja mahir yang akan mendorong kemajuan negeri Sabah”,katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan BIZRIDER Mobile Mechanic Programme dan Sijil Kolaborasi diantara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya inisiatif yang memberi peluang kepada belia Sabah meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan TVET.
“Program TVET amat relevan dalam usaha Sabah untuk terus membangunkan sektor ekonominya yang disokong Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ. Ia juga menyediakan graduan untuk menjadi tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
“Sabah yang mempunyai sumber asli, minyak dan gas, pertanian dan sektor pelaburan mahu memajukan sektor pembuatan selaras dengan usaha Kerajaan yang menggariskan pelbagai inisiatif bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan”, katanya.
Beliau berkata, kerajaan berjaya membawa ramai pelabur asing membuka perniagaan pembuatan di negeri ini seperti loji kerajang tembaga oleh SK Nexilis dan loji kaca solar, Kibing yang amat memerlukan pekerja berkemahiran.
Katanya, Sabah telah mencatat jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM9 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini (2023), berbanding hanya sebanyak RM6 bilion dalam tahun 2021 dan RM11.5 bilion bagi tahun 2022.
“Hanya dalam tempoh enam bulan tahun ini, Sabah telah mencapai 79 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan bagi tahun 2022. Ini menjadikan Sabah negeri kelima di Malaysia yang mencatatkan rekod pelaburan yang tertinggi dari Januari hingga Jun 2023. Ini juga menunjukkan Sabah kini berada di landasan pembangunan yang betul berikutan mempunyai situasi politik yang stabil”, tegasnya.
Menurutnya, bagi memastikan Sabah terus berdaya saing seiring dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia, Kerajaan Negeri akan melabur dalam pengetahuan, kemahiran, dan keupayaan rakyat untuk kejayaan dan kemakmuran masa hadapan.
“Sebab itu pada awal bulan ini, saya telah mengetuai misi perdagangan di luar negara iaitu ke China dan Hong Kong untuk mempromosikan peluang perniagaan dan pelaburan di Sabah kepada pelabur dari China dan Hong Kong.
“Kerajaan negeri juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd untuk mempercepatkan inisiatif transformasi digital negeri ini. Justeru, kita semua harus bersedia kerana sudah pasti semua ini akan membawa lebih banyak pelabur untuk datang, yang bermakna semakin banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini”, tegasnya.
Menyentuh Program Koridor Pembangunan Sabah (SDC)-Sabah Talent Enhancement Programme (SSTEP) dan Program #BIZRIDER300, Hajiji berkata, seramai 3,116 peserta telah dilatih melalui 280 program yang dijalankan melibatkan latihan ‘reskilling’ dan ‘upskilling’, padanan pekerjaan serta peluang keusahawanan.
Katanya, Program #BIZRIDER300 yang dilancarkannya pada 14 Julai 2022, seramai 100 belia telah. menerima bantuan motosikal dan padanan pekerjaan sebagai rakan penghantar makanan melalui kerjasama dengan syarikat penghantaran makanan terbesar di Malaysia.
Sebanyak 15 buah motosikal akan diserahkan kepada para-alumni Politeknik dan Kolej Komuniti yang akan beroperasi sebagai mekanik bergerak.
Deasoka