Malaysia peroleh kemenangan penting terhadap individu mendakwa ‘waris’ Sultan Sulu

Malaysia peroleh kemenangan penting terhadap individu mendakwa ‘waris’ Sultan Sulu

Kota Kinabalu: Mahkamah di Luxembourg, kelmarin telah mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh individu mendakwa sebagai ‘waris’ kepada Sultan Sulu pada 11 Julai 2022.

Keputusan itu dibuat mahkamah negara berkenaan pada 24 Januari 2023, sekali gus membolehkan Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu yang mendakwa sebagai ‘waris’ kepada Sultan Sulu selaku penuntut.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perintah penahanan yang telah diketepikan itu dipohon berasaskan dua award timbang tara yang dikatakan (purported arbitral awards) dikeluarkan oleh penimbang tara yang dilantik secara tidak sah, Dr Stampa.

Katanya, Dr Stampa sebelum ini dikatakan telah memberikan award kepada penuntut sebanyak USD14.92 bilion.

“Malaysia telah membantah secara konsisten prosiding timbang tara yang dikatakan itu yang telah dirancang oleh penuntut.

“Malaysia telah mengambil segala tindakan perundangan yang ada untuk membatalkan pelantikan Dr Stampa dan ‘award’ yang dikatakan tersebut.

“Hasil daripada tindakan Malaysia tersebut, Mahkamah Sepanyol yang melantik Dr Stampa telah membatalkan pelantikan Dr Stampa secara retrospektif dan ‘preliminary award’ yang dikeluarkan oleh Dr Stampa di Madrid.

“Mahkamah Perancis telah menggantung penguatkuasaan final award yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Stampa di Perancis sementara menunggu keputusan mahkamah bagi permohonan Malaysia untuk mengetepikan ‘final award’ tersebut,” katanya.

Azalina berkata, Malaysia telah dengan serta merta membuat permohonan kepada Mahkamah Luxembourg untuk mendapatkan relif interim supaya perintah penahanan tersebut diketepikan.

Jelasnya, pendengaran bagi permohonan tersebut telah berlangsung pada 5 Disember 2022 di hadapan hakim Mahkamah Luxembourg yang kemudiannya telah mengetepikan perintah penahanan tersebut.

“Keputusan Mahkamah Luxembourg tersebut telah menjustifikasikan prinsip kerajaan untuk mempertahankan Malaysia di mana-mana forum bagi memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus berusaha untuk menamatkan segala tuntutan terhadap Malaysia,” katanya.

Pada 28 Februari 2022, agensi berita Sepanyol melaporkan Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol, mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Pampasan itu berkaitan tuntutan ke atas Sabah yang dibuat pihak mendakwa waris Sultan Sulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|