Kes tuntutan waris Sulu ke ICJ, tiada justifikasi relevan: Armizan

Kes tuntutan waris Sulu ke ICJ, tiada justifikasi relevan: Armizan

Kota Kinabalu: Tiada justifikasi relevan untuk sebarang cadangan membawa kes tuntutan pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini memandangkan ICJ berfungsi sebagai pengadilan pertikaian undang-undang antara dua negara manakala waris yang didakwa tidak mewakili mana-mana negara.

“Jadi dalam konteks pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu ini, mereka bukanlah mewakili sesebuah negara dan mereka pun bukanlah negara.

“Mereka adalah persendirian, maka bidang kuasa ICJ tidak meliputi tuntutan yang dibuat oleh individu, ” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mencadangkan supaya kes tuntutan waris Sulu tersebut di bawa ke ICJ dalam usaha mencapai penyelesaian menyeluruh.

Armizan dalam pada masa yang sama turut menempelak akan cadangan dikemukakan Mohd Shafie kerana ia turut dilihat bertentangan dengan syarat pengadilan ICJ.

Menurut beliau, syarat dimaksudkan adalah setiap tuntutan di mahkamah itu, perlu dikemukakan oleh pihak yang menuntut terlebih dahulu dan dalam kes tersebut, Malaysia tidak mempunyai sebarang tuntutan terhadap mana-mana negara termasuklah waris yang didakwa.

Terdahulu, baru-baru ini, Presiden WARISAN itu mencadangkan kerajaan agar kes itu dibawa ke ICJ dan menyifatkan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan isu tuntutan tersebut berlarutan pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|