Kerajaan negeri terus laksanakan tanggungjawab kepada rakyat – Hajiji

Kerajaan negeri terus laksanakan tanggungjawab kepada rakyat – Hajiji

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan pimpinannya terus melaksanakan fungsi dan tanggungjawab kepada rakyat.

Beliau berkata, ia sejajar dengan kepercayaan diberikan kepada kerajaan yang dipimpinnya ketika ini, selain tumpuan seharusnya diberikan terhadap soal perpaduan dan pembangunan negeri.

“Kita teruskan kerja kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat kerana kita mendapat kepercayaan, semua tahu keadaan kerajaan kita sekarang ini.

“Oleh itu, saya berharap mereka yang masih lagi mempunyai niat yang lain, mesti memberikan fokus kepada kebaikan negeri, perpaduan, dan pembangunan negeri serta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kenderaan kepada 21 Pejabat Kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji ditanya mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini mengenai keputusan UMNO mengisytiharkan tempoh bertenang dalam soal hubungan politik di antara UMNO dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memimpin kerajaan negeri.

Mengenai perbincangan di antara UMNO dan GRS berhubung kemelut politik yang berlaku, Hajiji yang juga Pengerusi GRS bagaimanapun tidak menyatakan sama ada perkara itu wujud atau sebaliknya.

Kemelut politik Sabah berlaku selepas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan keputusan parti itu menarik sokongan kepada kerajaan negeri dan Hajiji pada awal bulan lalu.

Keputusan itu bagaimanapun tidak disokong semua pemimpin UMNO Sabah apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu mengambil pendirian terus menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|