Kenderaan rasmi UPPM beri kemudahan PPM lawat kawasan, kampung

Kenderaan rasmi UPPM beri kemudahan PPM lawat kawasan, kampung

Kota Kinabalu: Setiap pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menerima sebuah kenderaan rasmi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia bertujuan untuk memberi kemudahan kepada PPM dan pegawainya untuk melawat kawasan dan kampung-kampung, terutama sekali di luar bandar.

“Saya berharap dengan adanya kenderaan rasmi untuk UPPM, maka pegawai-pegawai kita dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diamanahkan dengan lebih lancar dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kenderaan kepada 21 Pejabat Kawasan UPPM, di Lobi Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 21 buah kereta jenis hilux kepada 21 pejabat kawasan UPPM pada fasa ke-2 penyerahan kenderaaan rasmi itu.

“Antara yang telah menerima kenderaan rasmi hari ini ialah Sulaman, Petagas, Tanjung Keramat, Segama, Gum-Gum, Bongawan, Tanjung Kapor, Kadamaian, dan Tamparuli.

“Selain itu, ialah Inanam, Likas, Luyang, Tanjung Aru, Moyog, Membakut, Kundasang, Melalap, Sekong, Karamunting, Sulabayan dan Merotai,” katanya.

Tambahan itu, Hajiji memaklumkan bahawa sebanyak tujuh buah kenderaan rasmi telah diserahkan kepada tujuh pejabat kawasan UPPM pada fasa pertama penyerahan pada 25 Oktober 2022.

Katanya, antara penerima pada fasa pertama ialah DUN Karanaan, Kiulu, Tambunan, Sindumin, Lumadan, Nabawan dan Labuk.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|