Kerajaan negeri sokong penuh usaha pembangunan UCSF

Kerajaan negeri sokong penuh usaha pembangunan UCSF

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan oleh universiti tunggal milik Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sabah iaitu Universiti College Sabah Foundation (UCSF).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya juga akan terus menyokong usaha UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berkualiti, seterusnya menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini.

Hajiji (tengah) bersama Ghulam dan Rafiq serta graduan UCSF pada majlis konvokesyen universiti itu di SICC.

Katanya, termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Petronas dan UCSF pada Oktober lalu merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha pembangunan modal insan di Sabah.

“Melalui kerjasama ini, UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di kampusnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang pekerjaan sektor berkenaan.

Hajiji (tengah) menerima cenderahati daripada Rafiq (kiri) selepas menyempurnakan majlis konvokesyen UCSF.

“Hakikatnya bahawa polisi-polisi pengurusan bakat dan modal insan telah pun digubal dan akan terus menjadi keutamaan saya,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-2 UCSF di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Beliau berkata, dengan matlamat penubuhan UCSF sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah yang bersifat memenuhi tanggungjawab sosial dan kelestarian, telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang menyumbang dalam aspek pembangunan negeri Sabah.

“Saya berasa gembira kerana UCSF telah menyediakan peluang dan tempat kepada ramai pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“UCSF juga telah melahirkan ramai graduan yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan, khususnya dalam kalangan rakyat Sabah,” katanya lagi.

Hajiji turut mencadangkan agar UCSF meluaskan programnya dengan membuka mini kampus di Tawau selaras dengan usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam aspek akademik dan penyelidikan.

“Bagi memastikan UCSF terus cemerlang dan menjadi pilihan anak-anak kita, kerajaan negeri akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta sebagai geran penyelidikan pembangunan Sabah, kursus dan latihan kepada penjawat awam serta belia, dan projek perintis bagi pengeluaran batik botanic UCSF.

“Saya juga meluluskan cadangan penubuhan kursi akademik di UCSF yang diberi nama Kursi Pembangunan Sabah UCSF dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM5 juta. Saya berharap dengan bantuan tambahan ini, UCSF akan terus cemerlang,” tegasnya.

Seramai 566 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian mereka dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 247 merupakan graduan program ijazah sarjana muda, 316 graduan diploma dan tiga graduan asasi.

Turut hadir ialah Pro-Canselor UCSF, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar dan Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|