Hajiji hargai peranan utama PBS kukuhkan GRS

Hajiji hargai peranan utama PBS kukuhkan GRS

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghargai peranan utama Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam mengukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, sebagai rakan kongsi utama dalam GRS, PBS perlu terus bekerja keras seiring dengan ahli komponen lain untuk mengukuhkan lagi gabungan tempatan sebagai pilihan utama rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan tertinggi PBS di Seri Gaya, hari ini.

Mengetuai rombongan PBS bertemu Hajiji yang juga Pengerusi GRS ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Joachim Gunsalam yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, semasa mesyuarat itu, PBS, sebagai salah satu komponen utama GRS, berikrar untuk bekerjasama rapat dengan parti komponen lain untuk mengukuhkan gabungan itu.

Turut hadir Timbalan-timbalan Presiden, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai, Naib-naib Presiden, Datuk Ruslan Muharam dan Hendrus Anding, Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Bendahari Agung, Datuk Lu Kim Yen, Penolong Setiausaha Agung, Jonnybone Kurum dan Penolong Bendahari Agung, Lo Su Fui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|