FAMA anjur Program Semarak Ramadan di 29 lokasi seluruh negara

FAMA anjur Program Semarak Ramadan di 29 lokasi seluruh negara

Kota Kinabalu: Program Semarak Ramadan yang menjadi aktiviti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) saban tahun sejak 2017 akan menjelajah ke 29 lokasi seluruh negara pada tahun ini.

Dengan sasaran lokaliti luar bandar, program ini diharap dapat mendekatkan pihak FAMA bersama golongan sasar selain dapat mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat.

Chan mengagihkan bubur lambuk dan buah kurma kepada pengunjung yang hadir.

Sempena bulan Ramadan 1444H/2023, Bank Rakyat bersama lagi bagi tahun ke dua untuk menjayakan program jelajah Ramadan FAMA dan menyalurkan sumbangan berjumlah RM600 ribu kepada pihak FAMA.

Sumbangan berbentuk kit kebajikan makanan itu bertujuan untuk disumbangkan kepada hampir 4,000 individu yang terdiri daripada golongan asnaf di seluruh negara.

“Setiap lokasi jelajah Ramadan kelak turut akan diadakan aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat bagi memudahkan komuniti setempat memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan.

“Penganjuran program seperti ini merupakan inisiatif serampang dua mata di mana bukan sahaja kita dapat mendekatkan peranan agensi ke lokasi program, malah dapat membawa bersama kerjasama lain-lain pihak yang turut sama ingin menyumbang.

“Jelajah Ramadan ini merupakan satu konsep yang kita perkenalkan untuk kita bergerak ke lapangan bagi menyantuni golongan yang memerlukan dan masyarakat semasa bulan Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin telah menyempurnakan perasmian program berkenaan di Bazar Ramadan UMS.

“Untuk di Sabah, program yang juga dikenali sebagai Program Jelajah Ramadan Madani akan diadakan di tiga lokasi iaitu di UMS serta di daerah Penampang dan Bandaran.

“Kita juga berterima kasih kepada Bank Rakyat kerana bersama kita untuk tahun kedua dalam menjayakan program ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menyampaikan bubur lambuk dan buah kurma kepada para pengunjung yang hadir.

Penganjuran Bazar Ramadan UMS ini merupakan penganjuran kali ke tujuh sejak ia mula beroperasi pada tahun 2016 dan pernah ditutup selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

Tujuan pembukaan Bazar Ramadan UMS adalah untuk memberi ruang perniagaan kepada pelajar dan memudahkan para pelajar untuk mencari juadah berbuka sepanjang Bulan Ramadan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Pengurusan FAMA, Rosiliawati Abu Hasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|