Ewon dan Arthur ‘bergabung’, tawar kepimpinan proaktif

Ewon dan Arthur ‘bergabung’, tawar kepimpinan proaktif

Penampang: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dan Presiden Pertubuhan Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup menyatakan komitmen mereka untuk ‘bergabung’ membangunkan Sabah melalui kepimpinan di kementerian masing-masing.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, dalam hal itu beliau telah mengadakan perbincangan santai dengan Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Pada awal tahun ini, saya telah berkunjung ke Parlimen Pensiangan yang diwakili oleh Arthur dan menyampaikan bantuan kepada rakyat di sana.

“Pada hari ini, Arthur pula berkunjung ke Parlimen Penampang yang saya wakili dan menyampaikan bantuan kepada rakyat di sini.

“Ini adalah hasil daripada susulan perbincangan kami dan tawaran kepimpinan proaktif dua anak muda Sabah yang berada dalam Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat Sabah melalui kementerian masing-masing. Kepimpinan seperti ini akan kami teruskan,” katanya.

Ewon dan Arthur menyatakan komitmen mereka untuk ‘bergabung’ membangunkan Sabah melalui kepimpinan di kementerian masing-masing.

Ewon berkata demikian pada majlis perasmian MyIS Komuniti Projek Pertanian Moden bersama Komuniti Daerah Penampang, di Wisma IDS di sini, hari ini.

Sementara itu, Arthur berkata, beliau mengesahkan usaha bersama kedua-dua pemimpin untuk bekerjasama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Sabah.

“Memang benar Ewon telah berkunjung ke Parlimen Pensiangan dengan membawa agensi-agensi kementerian beliau. Giliran saya pula hari ini membawa agensi MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia bagi pelaksanaan projek pertanian moden di Penampang melibatkan peruntukan sebanyak RM206,000.00.

“Saya yakin dengan sinergi kepimpinan ini, iaitu Ewon membangunkan infrastruktur dan pembiayaan keusahawanan, manakala saya akan melihat aspek sains dan inovasi di kalangan rakyat. Kami akan buat yang terbaik untuk negeri tercinta kita ini,” katanya.

Dalam hal kepimpinan Sabah, kedua-dua presiden itu bersetuju menganjurkan satu program bersama melibatkan Majlis Tertinggi dan Exco-Exco Pergerakan kedua-dua parti itu pada Oktober ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|