Depani cabaran politik dengan ubah kesesuaian ikut permintaan rakyat: Masidi

Depani cabaran politik dengan ubah kesesuaian ikut permintaan rakyat: Masidi

KOTA KINABALU: Pergerakan sayap-sayap Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di minta mendepani cabaran politik dengan mengubah kesesuaian mengikut permintaan rakyat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mengatasi persepsi negatif terhadap ahli politik dilihat sebagai salah satu cabaran utama dan ia memerlukan sokongan jitu daripada sayap-sayap memperterjemah elemen positif kepada rakyat jelata.

“Satu cabaran utama dalam dunia politik adalah mengatasi persepsi negatif yang masyarakat miliki terhadap ahli politik. Kita harus bekerja keras untuk membina dan mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap PGRS.

“Cara terbaik untuk melakukan ini adalah dengan membuktikan melalui tindakan.Namun apa yang lebih penting adalah untuk kita berubah sesuai dengan permintaan rakyat, apa yang rakyat mahu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap inisiatif, program, dan keputusan yang diambil oleh PGRS harus berasaskan kepentingan rakyat dan kesejahteraan negeri Sabah.

“Dengan mengambil pendekatan yang lebih telus,bertanggungjawab dan berintegriti, kita akan mampu mengubah persepsi rakyat dan menunjukkan bahawa PGRS adalah pilihan yang terbaik untuk Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian persidangan sayap Wanita, Pemuda, dan Beliawanis PGRS bersempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Sementara itu, dalam ucapan yang sama, Masidi berkata, konsep ‘Sabah First’ yang dibawa oleh PGRS bukan sekadar slogan, tetapi manifestasi dari komitmen kita untuk memastikan kepentingan Sabah sentiasa diutamakan.

Menurut beliau, pihaknya selaku pucuk pimpinan berpesan kepada pergerakan sayap untuk melihat kemampuan PGRS sebagai parti lokal yang harus berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, memastikan bahawa suara mereka didengar dan aspirasi mereka direalisasikan.

“Sebagai sebuah parti lokal, PGRS mempunyai tanggungjawab khusus untuk mewakili suara dan aspirasi rakyat Sabah.

“Kita tidak hanya memperjuangkan hak Sabah di peringkat nasional, tetapi juga memastikan bahawa setiap keputusan dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Presiden kita, Datuk Seri Hajiji Noor, merangkap Ketua Menteri Sabah, memenuhi keperluan dan harapan rakyat Sabah,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|