DBKK anjur bersama KKCC23

DBKK anjur bersama KKCC23

KOTA KINABALU: Majlis Gereja-Gereja Sabah bersama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kini kembali lagi buat kali ke-18 bekerjasama menganjurkan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2023 (KKCC 2023) yang akan bermula pada 12 hingga 15 Disember 2023 bertempat di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, tema krismas yang dipilih pada tahun ini adalah “Krismas: Perpaduan dan Harmoni” merupakan seruan untuk bersatu dan bersama-sama walaupun kita mempunyai perbezaan.

“Ia juga mengingatkan kita bahawa kita semua adalah satu komuniti, dan kita harus berusaha untuk mempromosikan perdamaian, kasih sayang, dan pemahaman dalam masyarakat kita.

“Majlis Perasmian KKCC 2023 akan dilaksanakan pada 12 Disember 2023 yang akan disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, pagi ini.

Menurut beliau, sambutan acara Krismas ini adalah terbuka kepada seluruh orang awam sepanjang empat (4) malam berturut-turut, bermula pada jam 6.00 petang hingga 10.00 malam.

Persembahan pentas akan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian, tarian dan drama oleh gereja dan para artis tempatan Sabah seperti The Male-Efficient, Joe Balanjiu Jr, Esther Applunius, Monica Marais, Persekutuan Kayan Sabah, Sylvilina, La Cantare Group, Leslie Augustus, persembahan koir dari denominasi gereja yang berbeza dan ramai lagi yang akan menyemarakkan perayaan Krismas ini.

“Lagu tema KKCC 2023 yang bertajuk “Kasih Natal” akan bergema sepanjang malam KKCC sebagai seruan kesatuan kita, “katanya.

Sementara itu, jelas Junainah, KKCC Sunset Fun Run 5KM akan diadakan pada 10 Disember 2023 (Ahad), sebagai pembuka acara KKCC 2023.

“Dekorasi Krismas tahun ini juga akan diwarnai oleh persembahan lampu yang akan memukau para pengunjung yang hadir.

“Turut memeriahkan hiasan Krismas seperti Nativity Hut dan Pokok Krismas.

“Hiasan lampu Krismas yang menarik akan memberikan suasana yang harmoni buat pengunjung dan tetamu yang hadir, “katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|