CSR pihak swasta dialukan, bantu pembangunan pendidikan – Shahelmey

CSR pihak swasta dialukan, bantu pembangunan pendidikan – Shahelmey

Putatan: Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama erat pihak swasta untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan di peringkat awal.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia merupakan satu pendekatan murni termasuklah usaha meringankan beban golongan ibu bapa membeli keperluan persekolahan anak-anak.

Shahelmey beramah mesra bersama pelajar-pelajar yang hadir semasa program Back To School di SK Pekan Putatan, Putatan pagi tadi.

“Kerjasama erat pihak swasta, syarikat perniagaan atau lain-lain entiti untuk menunaikan CSR mereka kepada pembangunan pendidikan adalah amat digalakkan.

“Selain dapat membantu komuniti yang mungkin terkesan dengan cabaran ekonomi semasa, ia juga dapat memberikan pemelegaan kepada golongan ibu bapa dalam menampung keperluan perbelanjaan sekolah anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Back To School di SK Pekan Putatan, Putatan, hari ini.

Program berkenaan merupakan anjuran Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat, dan seramai 300 murid sekolah rendah di daerah Putatan menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan Dan ADUN Tanjung Keramat turut berharap sumbangan ini akan dapat meningkatkan semangat para pelajar dalam menimba ilmu.

“Saya berharap ianya akan menyuntik semangat para pelajar untuk hadir ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) cawangan Sabah yang merupakan penaja sumbangan beg-beg sekolah untuk program tersebut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|