Cadangan perkenal anugerah koperasi terbaik negeri sebagai penggalak, majukan koperasi tempatan

Cadangan perkenal anugerah koperasi terbaik negeri sebagai penggalak, majukan koperasi tempatan

Kota Kinabalu: Cadangan untuk memperkenalkan anugerah koperasi terbaik Sabah pada tahun hadapan dilihat mampu menjadi penggalak dalam usaha memajukan lagi gerakan koperasi di negeri ini.

Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan dengan menjalin kerjasama dengan Kerajaan Sabah.

“Di peringkat kebangsaan, kita telah memberikan anugerah kepada koperasi terbaik dan saya telah mencadangkan kepada Ketua Menteri untuk diadakan anugerah daripada pelbagai kategori untuk peringkat negeri Sabah pada tahun depan.

“Sudah tentu ini adalah sebagai satu galakkan dan insentif kita kepada koperasi-koperasi di Sabah yang terbaik dan dapat mempromosikan lagi gerakan koperasi dikalangan rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Majlis sambutan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Sabah kini mempunyai sebanyak 1,707 buah koperasi dan ia telah banyak mencatat kejayaan kepada gerakan koperasi yang ditubuhkan.

“Seperti mana dalam ucapan tadi, sebanyak empat buah koperasi di Sabah telah tersenarai sebagai antara yang terbaik daripada 100 buah koperasi di seluruh negara.

“Ketua Menteri juga telah mengambil maklum dan positif berhubung cadangan berkenaan dan sudah tentu saya akan terus mengingatkan dan berbincang dengan beliau mengenai perkara berkaitan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|