Cadang laksana Simulasi Phishing Scam: Fahmi

Cadang laksana Simulasi Phishing Scam: Fahmi

KOTA KINABALU: Cadangan pelaksanaan Simulasi Phishing Scam atau Penipuan Pemancingan Data akan dipertimbang pihak Kementerian Komunikasi dan Digital dalam tujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu keselamatan siber.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, rancangan berkenaan akan dibincang bersama beberapa pihak termasuk gabungan anti-scam (GBS) bagi memastikan ia dapat dilaksanakan seawal mungkin.

“Langkah ini bakal membantu untuk meningkatkan kesedaran.Isunya ialah, bila kita bercakap tentang satu bentuk scam… mungkin pada minggu depan ataupun petang ini, kita sudah berdepan dengan rencana scam yang baharu.

“Jadi ini antara kekangan kerana mereka ini (scammer) terlalu kreatif, penjenayah-penjenayah yang sangat kreatif jadi kita sedang teliti dari beberapa aspek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis perasmian Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 peringkat negeri, di UMS, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut berharap agar GBS serta beberapa lagi rakan kongsi yang lain bakal membawa inisaitif kepada komuniti di peringkat akar umbi bagi memastikan tahap kesedaran keselamatan siber dapat diperluaskan.

“Menerusi gabungan antiscam ini kita akan ada rakan-rakan kongsi yang selepas ini kita harap mereka juga akan bawa ke dalam komuniti.

“Jadi ini yang penting, untuk hanya mengharapkan kepada satu pihak sahaja tidak dapat, tapi apabila kita berkerjasama dengan NG0-NGO tempatan, wakil-wakil rakyat, ketua-ketua adat dan ramai lagi, maka ia akan menjayakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai scam, ” katanya.

Untuk rekod katanya, sebanyak 4,381 insiden scam dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini dengan 2,788 kes atau 64 peratus berkaitan dengan penipuan atas talian.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|