BERNAS santuni golongan asnaf, pesawah sempena ramadan dan menjelang syawal di Perak

BERNAS santuni golongan asnaf, pesawah sempena ramadan dan menjelang syawal di Perak

Perak: Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah meraikan dan menyantuni lima keluarga asnaf yang terdiri daripada golongan yatim piatu, petani dan kurang berkemampuan menerusi Program Ikhlas Ramadhan BERNAS.

Keluarga yang diraikan ini dipilih dari kariah masjid Almuzakkirin, Kampung Chawi, Telok Intan iaitu sebahagian dari komuniti Kilang Beras BERNAS (KBB) Changkat Lada, Perak.

Keceriaan wajah kanak-kanak dari salah satu keluarga asnaf jelas terpancar semasa dibawa membeli persalinan hari raya di salah sebuah pasaraya di Manjung, Perak sambil diiringi oleh pegawai BERNAS.

Keterujaan untuk menyambut perayaan Aidilfitiri jelas terpancar di wajah ahli keluarga mereka yang dibawa membeli-belah baju raya mengikut pilihan masing-masing di salah sebuah pasaraya terkemuka di Manjung.

Selain daripada persiapan raya, mereka turut menerima wang tunai dan dirai bersama-sama komuniti Sungai Ranggam dan kariah masjid di Majlis Berbuka Puasa anjuran BERNAS.

Salah seorang penerima bantuan yang merupakan yatim piatu, Siti Mariam Othman berasa gembira dengan bantuan baju raya yang dihulurkan BERNAS.

“Melalui bantuan yang dihulurkan ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung dari segi perbelanjaan menjelang hari raya,” katanya.

Seorang lagi penerima bantuan, Mohd Shahril Ibrahim berkata, beliau yang bekerja sebagai petani amat bersyukur menerima bantuan persiapan raya untuk anak-anaknya.

“Alhamdullilah, sangat gembira melihat anak-anak seronok memilih pakaian mereka dengan warna sedondon,” kata Shahril.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Bekalan dan Skim BERNAS, Mohamad Solhi Mohd Salleh, beliau berharap agar progam ini sedikit sebanyak dapat menceriakan musim perayaan mereka.

“Golongan asnaf ini tidak kita lupakan agar mereka dapat meraikan keistimewaan bulan mulia Ramadan mahupun kemeriahan Aildilfitri seperti orang lain.

“Menerusi program ini, BERNAS berbesar hati dapat menceriakan hari mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Sementara itu, sebanyak 15 keluarga asnaf yang telah dikenalpasti turut menerima sumbangan kotak makanan keperluan harian seperti beras, susu, gula, minyak masak, di samping wang tunai di Majlis Berbuka Puasa BERNAS.

Dalam program yang sama, BERNAS turut menyalurkan bantuan tunai kepada lima buah masjid iaitu Masjid Al-Muzakkirin Kampung Bukit Chawi, Masjid Nurul Hidayah, Masjid Muhajirin, Masjid Jumhuriah dan Surau Ibadur Rahman.

Bantuan ini diberikan sebagai nilai tambah kepada usaha mempergiatkan lagi program-program di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|