Bekas wartawan Utusan Borneo meninggal dunia

Bekas wartawan Utusan Borneo meninggal dunia

Tawau: Bekas wartawan Utusan Borneo Norwahida Yamaluddin meninggal dunia di Hospital Tawau malam tadi.

Beliau sempat mengucapkan Assalamualaikum dalam status yang dimuat naik pada 13 Julai lalu.

Difahamkan, Norwahida,46, mengalami sesak nafas, sebelum dimasukkan ke Hospital Tawau pada Selasa untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, beliau disahkan meninggal dunia oleh keluarganya kira-kira jam 10 malam dan khabar duka itu dikongsi oleh rakan wartawan daripada Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA).

Jenazah Norwahida disolatkan di Masjid AN-Nur, Kampung Pasir Putih dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih pada jam 12.26 tengah hari.

Terdahulu, Norwahida bertugas sebagai pemberita sejak tahun 1996 dan telah bertugas di beberapa agensi di Sabah, namun menamatkan perkhidmatannya sekitar dua tahun lalu susulan pandemik.

Antara penghargaan tertinggi yang diterima adalah Pingat Kedaulatan Negara tahun 2013, yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas insiden Tanduo di Lahad Datu.

Selain itu, beliau turut meraih Anugerah Wartawan Belia sebanyak dua kali sempena Hari Belia Negeri dan beberapa Anugerah Kewartawanan SHELL.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|