Beaufort: Susulan keadaan cuaca tidak menentu dan banjir yang melanda beberapa daerah, termasuk di daerah ini, masyarakat diseru untuk sentiasa berwaspada terhadap persekitaran mereka.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, bagi keadaan banjir di daerah ini, beliau telah meninjau beberapa kawasan yang masih terjejas, khususnya di Kampung Lago, Suasa dan Keramis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, berkata setakat hari ini kenderaan belum dapat menggunakan jalan tersebut untuk keluar ke pekan disebabkan masih ditenggelami banjir.
Katanya, walaupun keadaan banjir di pekan Beaufort telah surut, banjir dijangka masih meningkat di kawasan kampung.
“Saya merayu kepada masyarakat agar berwaspada dengan keadaan banjir yang boleh meningkat dalam situasi cuaca yang tidak menentu ini.
“Saya telah difahamkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort, kemungkinan air Sungai Padas akan kembali meningkat.
“Ini disebabkan empangan Pangi telah membuka empat pintu, jadi sudah tentu air akan meningkat di kawasan kampung,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada masyarakat, khususnya yang berada di kawasan yang berisiko banjir, agar bersiap sedia lebih awal, sekiranya berlaku peningkatan air sungai.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya anak-anak kecil dipantau dan tidak dibiarkan bermain air banjir, selain memastikan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan sakit dipindahkan segera ke tempat lebih selamat.
-Deasoka