Alumni UPKO himpunkan mantan pemimpin, bantu Ewon perkukuh parti

Alumni UPKO himpunkan mantan pemimpin, bantu Ewon perkukuh parti

PENAMPANG: Pendekatan kepimpinan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick mendapat suntikan baharu melalui kehadiran pemimpin-pemimpin pengasas parti tersebut dalam sambutan pra-Krismas Alumni UPKO yang diadakan julung kali di sini, semalam.

Menurut Ewon, sebaik sahaja beliau mengambil-alih teraju sebagai Presiden UPKO, beliau telah membuka pintu kepada mantan pemimpin dan ahli parti tersebut untuk kembali menyertai parti tersebut atau membantu beliau dalam agenda pembangunan negara.

“Pada tahun 1999, apabila UPKO dilancarkan di Ranau susulan penukaran nama daripada Parti Demokratik Sabah (PDS), saya turut hadir di dewan pelancaran tersebut. Selepas 24 tahun, saya gembira kerana banyak pemimpin pengasas UPKO yang saya lihat di dewan tersebut hadir pada malam ini dan saya berbangga dapat berjumpa.

“Sudah tentu dalam tempoh ini, parti UPKO telah mendewasa melalui pelbagai pengalaman. Apa juga sebab yang menyebabkan ketidakbersamaan kita dalam beberapa tempoh selama ini pastinya boleh menjadi kekuatan baharu kepada parti ini selagi kita terbuka untuk saling melengkapi.

“Saya mengalu-alukan sebarang teguran, kritikan dan cadangan daripada ahli-ahli parti dan mantan ahli-ahli parti yang boleh saya gunakan sebagai input untuk dibawa ke pemesyuaratan pimpinan Kerajaan. Kerana pada saya, siapa lagi yang memahami UPKO, siapa lagi yang berhak untuk memperkasakan parti ini melainkan daripada ahli-ahlinya atau yang mendokong parti ini.

“Pada saya, kehadiran Timbalan Presiden pengasas UPKO Datuk Wilfred Bumburing dan pemimpin-pemimpin terdahulu bukan lagi alumni, sebaliknya kita sudah kembali bersama-sama dalam keluarga besar parti UPKO. Saya akan terus dipandu oleh pemimpin-pemimpin terdahulu UPKO untuk memperkukuh dan memperkasakan lagi parti ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap di sambutan pra-Krismas Alumni UPKO di Amore Puru Putaton, di sini, hari ini yang dihoskan oleh Presiden pengasas parti itu Tan Sri Bernard Dompok.

Antara yang hadir ialah mantan Timbalan Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, mantan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh, mantan Ahli Dewan Negara Datuk Christine Vanhouten mantan ADUN Labuk Datuk Tan Yong Gee, mantan ADUN Petagas Datuk James Ligunjang, mantan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Douglas Primus serta mantan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi UPKO Petrus Guriting, Lightson Kohiya, Monih Epin, Muji Ampau dan Cheong Kwee Min.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mengadakan satu perbincangan meja bulat berhubung dengan mekanisme pembayaran semula hasil persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Pemberian semula 40% hasil persekutuan di Sabah merupakan tuntutan besar rakyat Sabah. Saya ingin menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menetapkan tempoh masa satu tahun iaitu daripada bulan Julai 2023 hingga Julai 2024 untuk penetapan mekanisme pembayaran semula hasil persekutuan ini. Manakala, RM300 juta yang disalurkan kepada Kerajaan Sabah baru-baru ini hanyalah pembayaran interim sementara menunggu pemuktamadan mekanisme yang dipersetujui bersama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah.

“Justeru, sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963, saya akan menganjurkan perbincangan meja bulat hujung bulan ini supaya saya boleh membawa input hasil perbincangan tersebut kepada mesyuarat jawatankuasa ini yang akan diadakan pada bulan depan. Justeru saya mengalu-alukan sumbangan daripada Datuk Bumburing, rakan pimpinan dan juga golongan profesional ke perbincangan tersebut,” katanya.

Menurut Ewon, beliau lebih cenderung untuk memberi sumbangan nilai dan makna kepada tempoh masa yang ditetapkan tersebut.

“Ramai yang mempertikai keputusan saya dan rakan-rakan menarik semula Saman Pemula (OS) terkait ini sedangkan mereka tidak memahami serta mengambilkira keputusan-keputusan semasa Kerajaan. Mereka lupa bahaw Mahkamah telah memberikan kebenaran dan kebebasan kepada kami untuk memfailkan saman pemula tersebut.

“Saya cenderung mencadangkan mekanisme bagaimana pembayaran tersebut boleh dilaksanakan. Apakah Sabah bersetuju mengurangkan terimaan peruntukan pembangunan supaya pembayaran khas berdasarkan 40% tersebut boleh dilaksanakan. Kita juga perlu mengasingkan perundingan bagi hasil yang dikutip secara langsung oleh pejabat hasil di Sabah dengan hasil yang dikutip melalui pejabat di Kuala Lumpur.

“Saya dan Datuk Armizan telah melakukan yang terbaik untuk mengangkat perkara ini dalam kabinet. Apa yang kita harus tumpukan adalah mekanisme pembayaran semula hasil tersebut. Saya mahu mengelak perbincangan polemik, sebaliknya mahu menyumbang kepada proses perundingan tersebut dengan cadangan mekanisme yang praktikal,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|