Aduan daging halal, tidak halal bercampur KPDN Sandakan sita 846 kg produk beku

Aduan daging halal, tidak halal bercampur KPDN Sandakan sita 846 kg produk beku

Sandakan: Sebanyak 864 kilogram produk sejuk beku yang terdiri daripada daging ayam, itik dan babi dengan nilai rampasan keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM17,302 di sita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, baru-baru ini.

Sitaan itu dibuat berikutan satu Operasi Bersepadu Halal KPDN bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan ke atas sebuah premis Pengimport dan Pemborong Produk Sejuk Beku di Sandakan pada Rabu.

Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa, KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata ia hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan satu serbuan serta pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi mendapati premis terbabit dipercayai menyimpan produk halal yang bercampur dengan produk tidak halal terdiri ayam, itik dan babi.

“Kita telah buat satu operasi khas di salah sebuah pemborong atau pun pengimport barang-barang beku seperti ayam, itik dan juga ikan, jadi info-info yang kita perolehi daripada JPV kita telah mendapati ada satu premis yang kita siasat ini memang mencampurkan barangan tidak halal bersama barangan halal.

“Kita akan membuat menghantar sampel kepada Jabatan Kimia untuk menentukan samada barang tersebut atau pun produk tersebut adalah babi, kita belum dapat sahkan lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa kes ini akan disiasat di bawah Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika sabit kesalahan di bawah Perintah 5, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, suatu pertubuhan perbadanan (Syarikat) boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM10 juta dan bagi individu, denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|