WARISAN sokong PH dan BN bentuk kerajaan persekutuan

WARISAN sokong PH dan BN bentuk kerajaan persekutuan

Kota Kinabalu: Parti Warisan (WARISAN) menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan politik untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sokongan itu berdasarkan jumlah kerusi terkumpul kedua-dua gabungan parti itu yang diperolehi PH pada PRU15, Sabtu lalu.

“WARISAN memberikan sokongan kepada PH dan BN kerana keduanya mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan majoriti rakyat mengundi PH dan BN.

“Sehubungan itu, PH dan BN seharusnya diberi pilihan pertama untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan keputusan PRU15 pada Sabtu lalu, PH memenangi 82 kerusi, manakala 30 kerusi di pihak BN, menjadikan jumlah kerusi kedua-duanya sebanyak 112 kerusi.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sokongan itu juga mengambil kira bahawa kerajaan persekutuan yang baharu akan menyelesaikan sepenuhnya 21 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, WARISAN berharap PH dan BN mendapat rakan yang membolehkan pembentukan kerajaan persekutuan yang membawa kestabilan politik dan perpaduan di negara ini.

WARISAN memenangi tiga kerusi pada PRU15 Sabtu lalu, iaitu Semporna, Lahad Datu dan Kota Belud.

Sementara itu, laporan semasa di Kuala Lumpur menyaksikan BN tampil dengan pendirian baharu mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan dan pemilihan Perdana Menteri Ke-10.

Ahli Parlimen BN yang bermesyuarat hari ini difahamkan membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan, sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Mereka dikatakan mahu menjadi pembangkang di Dewan Rakyat sejajar kedudukan parti itu yang gagal mendapat kerusi majoriti selepas hanya memenangi 30 kerusi daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan pada PRU15, Sabtu lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|