WARISAN desak bahas usul bayaran kepada waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat

WARISAN desak bahas usul bayaran kepada waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat

Kuala Lumpur: Tujuh Ahli Parlimen Parti Warisan (WARISAN) mendesak supaya usul berkaitan arahan pembayaran USD14.92 bilion atau RM62.59 bilion oleh Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis, kepada waris Kesultanan Sulu diberi keutamaan untuk dibahaskan pada persidangan Parlimen ketika ini.

Usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis semalam itu dianggap berkepentingan awam dan harus disegerakan untuk dibahas serta dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan bersama Ahli Parlimen WARISAN itu, arahan pembayaran oleh Mahkamah Timbang Tara Paris bukan satu perkara yang boleh diremehkan dan ia bakal memberikan implikasi yang besar dan mengundang masalah yang lebih berat kepada negara jika tidak ditangani dengan segera dan tegas.

“Perbahasan dan keputusan yang tuntas dan muktamad di Dewan yang mulia ini adalah lebih utama dan diyakini kerana kita mewakili 32.7 juta rakyat Malaysia serta dapat memastikan tuntutan tidak berasas oleh Kesultanan Sulu dan negara Filipina ini dapat ditamatkan ‘once and for all’,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Presiden WARISAN yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman; Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dan Isnaraissah Munirah.

Sebelum ini, penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan kerajaan Malaysia membayar RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu ketika perbicaraan di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis.

Ia sebagai bayaran berhubung tuntutan waris Sultan Sulu yang mendakwa Malaysia melanggar perjanjian dibuat di antara Sultan Sulu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent bagi pajakan sebahagian Borneo Utara (Sabah) pada 1878 apabila menghentikan bayaran serahan sejak 2013.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia seperti dinyatakan dalam kenyataan bersama Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan dibuat pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dibuat di Sepanyol dan Perancis.

Malaysia juga menegaskan ia sentiasa menegakkan dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat selain menyatakan perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara selain Perjanjian 1878 juga tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

Kerajaan Malaysia juga menekankan bahawa identiti penuntut (waris Sultan Sulu) diragui dan belum disahkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|