Usahawan buta tidak mahu OKU ketinggalan dalam pembangunan ekonomi

Usahawan buta tidak mahu OKU ketinggalan dalam pembangunan ekonomi

Kota Kinabalu: Tidak mahu nasib golongan orang kurang upaya (OKU) terus tersisih daripada pembangunan ekonomi, seorang lelaki yang cacat penglihatan nekad mengusahakan pusat urut untuk membantu rakan senasibnya di negeri ini.

Mohammad Faiz Asangku Abdullah, 48, yang buta sejak kecil berkata, dia memilih pusat urutan sebagai sektor ekonomi kerana ia sangat mudah dipelajari terutama rakan senasib dengannya.

Mohammad Faiz Asangku Abdullah.

“Ramai sebenarnya golongan cacat penglihatan di negeri ini jika mereka dikumpulkan dan sebab itu saya merancang pada awal untuk membantu mereka semua.

“Saya sebenarnya sudah mempunyai pusat urutan di Semenanjung sebelum ini dan sekarang telah membuka cawangan di Kota Kinabalu iaitu Pusat Kecemerlangan Sepanjang Hayat (Perkis) di bawah naungan pertubuhan amal pembangunan usahawan OKU penglihatan Malaysia sebagai usaha untuk membantu rakan senasib di sini,” katanya di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, penubuhan pusat urut di Kota Kinabalu mendapat perhatian daripada kerajaan negeri apabila menerima dana kerajaan negeri bagi pelaksanaan Bengkel Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Urut Terapi di Pusat Urut Tradisional (Cacat Penglihatan).

“Di pusat ini, golongan cacat penglihatan boleh mendapatkan kursus kemahiran bagi urutan badan dan seterusnya mendapat sijil kemahiran yang diperakui.

“Sijil yang diperoleh pelatih sangat penting untuk mereka memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kerana ini menunjukkan mereka ini terlatih serta layak sebagai juruurut.

“Sudah tentu ini sekali gus akan membantu mereka menjana ekonomi dan seterusnya memperbaiki taraf kehidupan keluarga masing-masing,” katanya.

Muhammad Faris.

Sementara itu, salah seorang pelatih, Muhammad Faris Aripudin, 32, berkata, dia menyertai kursus SKM itu selepas dimaklumkan oleh Mohammad Faiz sendiri.

“Kursus ini untuk menambah lagi pengetahuan dan juga untuk mendapatkan sijil kemahiran dalam bidang urutan.

“Jadi saya berhijrah dari Tawau ke Kota Kinabalu demi menyertai kursus ini dan keluarga banyak memberi sokongan kepada saya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|