Kota Kinabalu: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang menegaskan sudah tiba masanya Parti Bersatu Sabah (PBS) berhenti memfitnah UPKO dan terus memperdayakan rakyat.
Felix berkata, ini kerana sebelum ini PBS sering menuduh UPKO sebagai pengkhianat apabila UPKO membuat keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN).
“Pemuda UPKO ingin bertanya adakah PBS mahu menyatakan bahawa mereka juga sebuah parti pengkhianat yang lebih besar selepas meninggalkan BN.
“Ternyata kenyataan-kenyataan PBS sebelum ini bahawa UPKO adalah sebuah parti pengkhianat adalah satu pembohongan dan fitnah semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan aman di Tamu Mingguan Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Felix berkata, ketika meninggalkan BN selepas pilihan raya umum pada tahun 2018, PBS menuduh UPKO sebagai pengkhianat.
Namun katanya, hari ini menurut Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menuduh PBS sebenarnya sudah jadi pengkhianat BN berkali-kali.
“Kita berharap PBS akan sedar, cermin diri dan menilai diri sendiri terlebih dahulu serta berhenti memfitnah UPKO selepas ini.
Felix berkata, sekiranya PBS benar-benar iklhas, mereka sepatutnya keluar daripada kerajaan yang ditunjangi Umno BN dan seterusnya hentikan sandiwara politik serta tidak lagi perlu berdolak dalik.
“Mereka kononnya kelihatan melawan di hadapan tetapi masih berselindung dibelakang UNNO BN hanya kerana pemimpin PBS ingin mengekalkan pangkat dan kedudukan.
“Berdasarkan kenyataan Presiden PBS Datuk Dr Maximus Ongkili baru-baru ini, mereka sedar apa yang dilakukan oleh ‘parti komponen BN’ itu tetapi mereka seakan-akan menghalalkan kegiatan itu sehingga hari ini demi mengekalkan kuasa.
“Bila UPKO tinggalkan BN, itulah langkah berani UPKO untuk menghentikan kegiatan buruk ‘parti komponen BN’ berkenaan, tetapi antara parti yang menghidupkan mereka semula untuk berkuasa ialah PBS,” katanya.
Felix berkata, beliau gembira jika akhirnya PBS sedar bahawa, tindakan UPKO tinggalkan UMNO-BN bukanlah pengkhianatan tetapi merupakan satu pengorbanan untuk memastikan kedaulatan dan kepentingan wilayah Sabah terjaga serta terbela.
Sebelum ini, Maximus mendakwa sebuah parti komponen BN menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin di Sabah demi kepentingan politik mereka.
-Deasoka