Tujuh diperiksa, satu premis diberi amaran

Tujuh diperiksa, satu premis diberi amaran

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan amaran terhadap sebuah premis selepas didapati menjual minyak masak sawit menggunakan tanda harga lama.

Manakala enam lagi premis didapati mematuhi penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol dalam pemeriksaan mengejut yang dijalankan hari ini.

Georgie bersama pasukan penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan minyak masak sawit di salah sebuah premis.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, pemeriksaan dan pemantauan mengejut bersama pasukan penguatkuasa itu dilaksanakan sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak yang bermula pada hari ini.

Katanya, antara premis tumpuan yang diperiksa adalah di sekitar kawasan King Fisher, Likas, Kota Kinabalu, Tanjung Aru dan Putatan.

Pemeriksaan mengejut itu dilaksanakan sempena pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak yang bermula pada hari ini.

“Bermula hari ini, kerajaan melaksanakan penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol bagi satu kilogram, dua kilogram, tiga kilogram dan lima kilogram untuk seluruh Malaysia.

“Penentuan harga ini akan ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan mengikut purata harga minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, penetapan harga siling minyak masak sawit tulen botol bulan ini adalah RM7.70 untuk satu kilogram, RM14.70 untuk dua kilogram dan RM21.70 untuk tiga kilogram serta RM34.70 untuk lima kilogram.

Katanya, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab untuk memastikan kestabilan harga barangan dan keberadaan bekalan, KPDNHEP akan sentiasa menjalankan pemeriksaan untuk melihat sendiri tahap pematuhan peniaga.

“Kerajaan amat prihatin dan serius dalam membantu mengurangkan beban Keluarga Malaysia akibat peningkatan kos sara hidup (COL) yang berlaku melalui langkah penetapan harga maksimum ini.

“Para peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh daripada pembekal lebih rendah,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, KPDNHEP berharap semua peniaga termasuklah premis-premis yang berada di luar bandar untuk terus mematuhi semua perundangan yang dikuatkuasakan.

Katanya, ia bagi mengelakkan peniaga daripada dikenakan tindakan tegas selain bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan keberadaan barang keperluan terutamanya minyak masak.

“Kita juga mahu memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Penentuan Harga Maksimum Minyak Masak ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Georgie berkata, jika sabit kesalahan, pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“KPDNHEP juga ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan dan subsidi.

“Pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan untuk kesalahan seterusnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,”katanya.

Georgie berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu juga boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui Whatsapp diralian 019-279 4317 atau 019-848 8000.

Katanya, ia juga boleh disalurkan menerusi portal (e-aduan.kpdnhep.gov.my), emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|