Tiga pemandu mabuk ditahan

Penampang: Tiga pemandu ditahan selepas disahkan memandu dengan paras alkohol tinggi dalam operasi di Jalan Kota Kinabalu-Penampang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, di sini, semalam.

Dalam operasi yang berakhir awal pagi itu, polis turut mengeluarkan 16 saman atas pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan.

Antara pemandu yang diperiksa dalam operasi tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berkata, operasi itu adalah kesinambungan Op Mabuk yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, ia bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang dibawah pengaruh alkohol.

“Sebanyak 16 keping saman pelbagai kesalahan dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan terhadap 46 kenderaan.

“Tiga pemandu ditahan dan dibawa ke IPD Penampang kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.

“jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|