Tiga kilang sejuk beku diarahkan tutup, kompaun RM12,500 dikeluarkan

Tiga kilang sejuk beku diarahkan tutup, kompaun RM12,500 dikeluarkan

Sandakan: Tiga kilang makanan sejuk beku diarahkan tutup selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor oleh Pejabat Kesihatan Sandakan, hari ini.

Difahamkan, arahan penutupan itu bukan kali pertama dan sudah berlanjutan hampir setiap tahun sejak 10 tahun lalu.

Dr Johari mengeluarkan kompaun kepada salah sebuah selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Malah, ada pengilang berkenaan juga enggan menyertai Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) yang dianjurkan pejabat kesihatan daerah.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, arahan penutupan itu dibuat selepas operasi pemeriksaan dijalankan selama dua hari sejak Isnin lalu.

Katanya, sebanyak lima kilang diperiksa dan tiga daripadanya ditutup dan dikenakan kompaun sebanyak RM12,500 selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor

“Keadaan kilang ini sangat kotor berikutan tindakan pengilang yang membiarkan air dan darah ikan mengalir sebelum bertakung di tengah-tengah kawasan kilang.

“Mereka sepatutnya meletakkan ikan di tepi longkong kilang bagi memudahkan pembersihan dilakukan. Kita arahkan mereka memperbaiki apa yang perlu (structure),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena operasi kilang produk laut sejuk beku yang diadakan di daerah ini, semalam.

Johari berkata, dua daripada kilang berkenaan juga tidak pernah memohon untuk menyertai PJKM walaupun sering diarahkan berbuat demikian.

Katanya, pengilang sebaliknya berpendapat bayaran kompaun terlalu rendah dan mereka mampu membayarnya dengan mudah.

“Kita dapati banyak yang tidak memiliki sijil PJKM dan sijil MESTI walaupun ada yang sudah beroperasi lebih 15 tahun.

“Oleh itu, mana-mana kilang yang ditutup dan dikompaun PJKM, akan diperiksa semula dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan mereka mematuhi arahan ditetapkan,” katanya.

Justeru itu, Johari berkata, pihaknya berharap semua kilang produk laut sejuk beku supaya segera mendaftarkan syarikat dengan PJKM dengan segera.

Katanya, ia bagi memastikan mereka menjual makanan yang bersih dan selamat kepada masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|