Tiada PRN Sabah dalam tempoh terdekat – Bung Moktar

Tiada PRN Sabah dalam tempoh terdekat – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Sabah tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat, sebaliknya tumpuan ketika ini untuk mempertahankan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun keadaan politik di peringkat nasional dilihat kritikal namun Sabah tidak perlu terpengaruh dengan keadaan yang berlaku.

“Kalau kita lihat perkembangan politik nasional memang amat kritikal dan hampir setiap hari ada saja isu-isu yang berbangkit tetapi kita jangan terikut-ikut dengan rentak yang berlaku.

“Kita harus melihat keadaan politik Sabah juga, di mana kita harus pertahankan kerajaan GRS ini dalam apa keadaan sekalipun,” katanya pada majlis menyampaikan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina kepada parti komponen MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Katanya lagi, rakyat Sabah pasti akan marah dengan pemimpin jika PRN berlaku sekali lagi memandangkan negeri ini baru saja mengadakan pilihan raya bagi membentuk kerajaan GRS.

“Kita tidak mahu ada pilihan raya berlaku. Sebab kita di Sabah ini baru saja mengadakan pilihan raya setahun lebih.

“Jadi kalau ada lagi pilihan raya sudah tentu tidak menyenangkan rakyat dan rakyat akan marah dengan kita,” katanya.

Tambah beliau lagi, kerajaan yang dibina itu akan bertahan hasil sokongan daripada rakyat.

“Selebihnya, kita tunggu perkembangan-perkembangan yang akan berlaku,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|