UMNO Sabah hantar jentera bantu PRN Johor

UMNO Sabah hantar jentera bantu PRN Johor

Kota Kinabalu: UMNO Sabah akan menggerakkan jenteranya untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya belum memutuskan berapa ramai jentera akan dihantar ke PRN berkenaan.

“Kita belum memutuskan berapa jentera yang akan turun, ini bergantung kepada bahagian.

“Kita tak bawapun, mereka pergi sendiri jadi kita seragamkan dan kita akan memastikan bahawa UMNO Sabah dapat memainkan peranan seperti yang dibuat di Melaka untuk membantu kemenangan calon BN yang akan bertanding,” katanya kepada media selepas menyerahkan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina kepada parti komponen BN Sabah, iaitu MCA dan Parti Bersatu Rakyat Dsbah (PBRS), di Bangunan UMNO, di sini, hari ini.

Hadir sama penasihat PBRS, Datuk Vincent Shia dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah menjangkakan sebanyak tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor akan dikendalikan jentera UMNO Sabah bagi membantu kempen BN.

“Kita tengok dulu kawasan mana yang diberikan untuk UMNO Sabah, BN Sabah untuk membantu kempen PRN Johor.

“Tetapi saya jangka kita diberi tiga DUN untuk kita jaga dan ini saya rasa tanggungjawab yang berat sebab pengundi di sanapun ramai di mana pengundi muda akan mula mengundi pada PRN ini,” katanya.

Diminta mengulas berhubung jangkaan kemenangan dalam PRN Johor, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, perkara itu diserahkan semula kepada rakyat negeri itu untuk menentukan masa depan kerajaan negeri mereka.

“Bila ditanya soal jangkaan, semua parti meramalkan boleh menang. BN Johor telah menyatakan bahawa mereka boleh membentuk sebuah kerajaan baharu.

“Demikian juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dengan PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP pun berkata demikian.

“Tapi akhirnya kita serahkan kepada rakyat untuk membentuk masa depan mereka dan sebab rakyat sudah faham, mereka sudah melalui pelbagai pemerintahan kerajaan sudah tentu mereka tahu kerajaan bagaimana mereka inginkan untuk menjalankan kerajaan negeri di Johor,” katanya.

Sebelum itu, Bung Moktar memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan datang ke Sabah pada 10 dan 11 Februari depan untuk merasmikan mesyuarat agung PBRS.

“Beliau juga akan berjumpa dengan pemimpin BN, berjumpa dengan pemimpin di semua peringkat dan seterusnya merasmikan mesyuarat perhimpunan agung PBRS,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|