Tiada premis bukan penghalang pengusaha jalankan perkhidmatan mobile refleksologi

Tiada premis bukan penghalang pengusaha jalankan perkhidmatan mobile refleksologi

Kota Belud: Tiada premis bukan penghalang untuk pengusaha mobile refleksologi memberikan perkhidmatan urutan kepada pelanggan.

Kira-kira 15 pengusaha mobile refleksologi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang berjaya menamatkan Kursus Asas Urutan Badan Tradisional menerima sumbangan kelengkapan untuk menjalankan perkhidmatan itu secara dari rumah ke rumah atau di pusat eko pelancongan di daerah ini.

Antara peserta yang menerima sumbangan katil urut mudah alih dalam majlis penyerahan yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Kota Belud.

Menurut Dominah Lumboting, 49, sumbangan alat kelengkapan yang diterimanya itu akan membantu untuk memulakan perniagaan memberikan perkhidmatan refleksologi kepada pelanggan di mana saja terutama di pusat eko pelancongan di kampungnya di Kampung Sayap.

“Saya belum ada kedai tetapi dengan adanya katil urut mudah alih yang boleh dilipat, ringan dan senang dibawa ke mana-mana akan memudahkan saya menjalankan perkhidmatan mobile refleksologi di kampung khususnya di kawasan pelancongan.

Dominah Lumboting, 49

“Kampung saya ada banyak pusat pelancongan termasuk tempat hiking menarik dan saya jangkakan apabila sempadan negara dibuka untuk pelancong ramai yang akan berkunjung ke sini.

“Sebelum ini selepas mereka turun dari bukit, ada yang sakit kaki dan memerlukan khidmat urutan tetapi tiada tempat yang selesa, maka dengan adanya kemudahan katil urut mudah alih ini akan memberikan keselesaan kepada pelanggan,” katanya.

Dominah yang juga ibu tunggal dan mempunyai bakat semulajadi dalam bidang itu mengakui dia sering menerima permintaan daripada pelanggan yang memerlukan khidmat urutan tradisional.

“Jadi kursus yang saya sertai ini menambah lagi ilmu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kursus satu minggu ini memang tidak mencukupi sebab ia hanya asas urutan badan tradisional. Tetapi bagi mereka yang memang ada pengalaman dan talenta dalam urutan badan, ia dapat menambah sedikit pengetahuan kami,” kata ibu kepada enam anak itu.

Beverley Natalie Koh, 39

Menurut seorang lagi peserta, Beverley Natalie Koh, 39, berharap lebih banyak program berkaitan spa dan refleksologi yang lebih menyeluruh dianjurkan di Kadamaian pada masa akan datang.

“Saya pasti ramai wanita di kawasan Kadamaian berminat mengikuti kursus ini kerana khidmat spa dan refleksologi boleh dikendalikan secara mobile dari rumah ke rumah mengikut tempahan pelanggan,” katanya yang berasal dari Kampung Taginambur.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick yang menyedari bidang refleksologi di kawasan beliau mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat di kawasannya terutama wanita telah menyampaikan sumbangan katil urut mudah alih kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus yang diadakan pada Febuari 2020.

Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis ringkas di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, di sini, semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|