Kerajaan Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

Kerajaan Sabah kini dikenali sebagai GRS-BN

Tuaran: ‘Mulai sekarang ini kita panggil GRS-BN,’ kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagi menjawab maklum balas cadangan timbalannya berhubung nama kerajaan Sabah yang dipimpin beliau ketika ini.

Beliau yang turut senada dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulangi pendirian bahawa GRS yang ditubuhkan adalah hasil daripada kerjasama dengan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Hajiji dalam lawatan kerja beliau di Tamparuli melawat Jambatan Tamparuli.

“Ya, memang pun itulah namanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah atau GRS ini termasuklah BN walaupun BN dia dalam satu gabungan yang lain, tidak dalam GRS tetapi kerajaan yang ada hari ini ialah kerajaan GRS dan juga BN.

“Ini sudah dipersetujui sebelum pilihan raya pun kita ada kerjasama dengan BN dan apabila kita menang dalam keputusan pilihan raya kita pun bersama-sama membentuk kerajaan negeri dengan BN.

“Jadi cadangan itu memang bagus, tetapi kadang-kadang kita panggil GRS,” katanya kepada media selepas lawatan kerjanya ke Tamparuli, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mencadangkan supaya kerajaan kini dikenali sebagai GRS-BN kerana partinya juga merupakan sebahagian daripada kerajaan yang ditubuhkan bersama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|