Adelinah perlukan lagi dana untuk capai misi tawan puncak Everest

Adelinah perlukan lagi dana untuk capai misi tawan puncak Everest

Kota Kinabalu: Anak jati Sabah, Adelinah Lintanga, 37, yang akan menawan puncak Gunung Everest memerlukan sumbangan dana daripada pelbagai pihak bagi melengkapkan keperluan yang masih belum cukup ketika ini.

Pengarah Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022, Datin Maria Abdullah berkata, pihaknya menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak khususnya sektor korporat dan swasta susulan sidang media pengumuman Adelinah terpilih dalam Program Keluarga Malaysia Ekspedisi Everest 2022.

Katanya, berita gembira itu turut mendapat sokongan daripada kerajaan Sabah menerusi sumbangan dana yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 23 Mac lalu.

“Adelinah dijangka bertolak ke Kathmandu, Nepal pada akhir bulan ini namun dalam merealisasikan impiannya untuk menawan puncak Everest dijangka Mei depan, kami selaku penganjur program ingin memohon bantuan sektor korporat, swasta dan orang ramai bagi melengkapkan keperluan kewangan yang masih lagi tidak mencukupi sehingga kini.

“Rakyat Sabah khususnya sektor korporat, swasta dan orang ramai dialu-alukan menyumbang bagi tujuan misi ini menerusi akaun Maybank, 564548154021 kepada Syarikat My Pro Wrestling Sdn Bhd selaku penganjur program,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maria berkata, besar harapan pihaknya untuk melihat anak jati Sabah mampu mengibarkan bendera Sabah ke Puncak Everest itu nanti.

Sebelum itu, Adelinah akan menyertai ekspedisi yang akan diketuai oleh pendaki solo Malaysia ke puncak Everest pada 2006 dan 2007, Ravichandran Tharumalingam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|