SKMM, Celcom beri perhatian gangguan internet di Long Pasia

SKMM, Celcom beri perhatian gangguan internet di Long Pasia

Sipitang: Gangguan liputan internet yang sering dialami penduduk Long Pasia dan Long Mio, di sini, mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi selepas isu itu diadukan kepada pihak terbabit.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Sani Miasin, berkata satu dialog di antara SKMM dan Celcom dengan pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan di kedua-dua kampung diadakan bagi membincangkan isu itu, semalam.

Dialog mengenai gangguan liputan internet di antara SKMM dan Celcom dengan pemimpin masyarakat serta wakil agensi kerajaan di Long Pasia dan Long Mio, Sipitang.

Katanya, hasil daripada dialog itu, pihak Celcom memberi jaminan akan menambah keupayaan dan kecekapan sumber tenaga sedia ada termasuk merancang pemasangan sistem solar hibrid untuk setiap menara mereka.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan menambah tempat penyimpanan minyak atau tangki supaya genset boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang gangguan untuk memastikan menara terus berfungsi memancarkan isyarat telekomunikasi.

Rombongan SKMM, Celcom bersama UPPM Sindumin meninjau masalah liputan internet di Long Pasia, Sipitang.

“Rentetan daripada aduan masyarakat sebelum ini sehingga kawasan Kampung Long Pasia dan Long Mio serta kampung yang berhampiran mengalami gangguan talian internet selama 14 hari hingga menjejaskan aktiviti harian terutamanya kepada pelajar sekolah dan agensi kerajaan yang lain.

“Selain daripada itu, gangguan talian internet ini juga kerap kali berlaku dan tidak mengikut masa.

“Syukur alhamdulillah, hasil daripada aduan-aduan masyarakat termasuklah daripada media sosial dan surat khabar, pihak MCMC (SKMM) dan Celcom mengambil inisiatif dan tindakan yang segera untuk mengatasi masalah dari pelbagai sudut,” katanya, di sini.

Sani berkata, selain masalah liputan telekomunikasi, isu jalan raya yang menjejaskan perhubungan penduduk Long Pasia dan sekitarnya juga belum lagi selesai sejak sekian lama.

Jelasnya, harapan untuk melihat isu itu diselesaikan sudah lama disuarakan namun sehingga kini belum ada perkembangan yang menggembirakan penduduk kawasan berkenaan.

“Harapan masyarakat di sini supaya pihak kerajaan melalui agensi atau jabatan kerajaan yang dipertanggungjawabkan dapat memainkan peranan penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan seperti mana diharapkan oleh rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|