Satu tan sampah dikutip di Pantai ODEC, UMS

Satu tan sampah dikutip di Pantai ODEC, UMS

Kota Kinabalu: Sebanyak satu tan sampah berjaya dikutip sukarelawan menerusi program ‘Coastal Clean-up with Community’ di pesisir pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, baru-baru ini.

Program anjuran AEON Credit Service dengan kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS dan Sukarelawan Siswa UMS itu disertai seramai 120 sukarelawan.

Sukarelawan mengutip sampah di tepi Pantai ODEC UMS.

Pengurus Kawasan Sabah AEON Credit Service, Esmond Teo Yee Seng berkata, sejajar dengan falsafah syarikat AEON, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) merupakan acara tahunan AEON untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan tumpuan awam dan alam semula jadi.

“Selain daripada pantai ODEC UMS, dua lagi pantai yang terlibat dalam program seperti ini iaitu di Pantai Sepat (Pahang) dan Pantai Bersih (Pulau Pinang).

Esmond (kiri) dan Dr Jurry (tiga dari kiri) bersama-sama mengutip sampah di Pantai ODEC, UMS

“Pada 16 Julai lalu, program ini telah diadakan di Pantai Morib (Selangor), Pantai Batu Layar (Johor) dan Pantai Kampung Bunta (Sarawak).

“Sasaran AEON Credit adalah untuk mengutip sebanyak 6.5 tan sampah termasuk sisa plastik, polisterin dan lain-lain sisa sampah di lokasi-lokasi terbabit,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Sementara itu, Pengarah PKPP UMS, Dr Jurry Foo menzahirkan penghargaan kepada AEON Credit yang memilih Pantai ODEC, UMS sebagai salah satu lokasi pantai dalam siri program CSR mereka.

“Pantai ini menjadi tumpuan pelancong dan pelawat dari luar terutamanya pada hujung minggu yang ingin menikmati suasana matahari terbenam.

“Justeru, usaha ini dilihat mampu mengurangkan sampah agar orang ramai yang berkunjung ke sini berasa selesa dan gembira untuk berjalan-jalan di pantai,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|