Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung usaha pembangunan bola sepak di Sabah dalam satu majlis di sini, esok (Khamis).
Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka akan menyempurnakan majlis berkenaan di sebuah hotel, di ibu negeri, di sini.
Beedasarkan kenyataan yang dikeluarkan SAFA hari ini, MoU berkenaan adalah susulan perbincangan awal di antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan Negeri.
Katanya, ia berkaitan perancangan untuk memajukan sukan bola sepak di negeri ini yang dimulakan sejak pertengahan tahun lalu.
“Beberapa siri perbincangan membabitkan wakil tiga pihak itu telah dilakukan sebelum MoU itu dapat dimuktamadkan untuk dimeterai kedua-dua pihak,” katanya.
Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar memberitahu, kerjasama membabitkan tiga pihak antara SAFA, MSN dan Jabatan Pendidikan perlu diperkasakan bagi merealisasikan usaha untuk pembangunan bola sepak di negeri ini.
Katanya, beberapa siri perbincangan akan dilakukan agar persefahaman dan kerjasama dalam usaha untuk memajukan bola sepak Sabah menjadi kenyataan.
Menurut beliau, SAFA perlu menjalinkan kerjasama dengan MSN dan Jabatan Pendidikan memandangkan kedua-dua jabatan itu selama ini sentiasa berusaha untuk mengetengahkan bakat dan potensi pemain-pemain remaja dalam sukan bola sepak.
“Justeru, SAFA memikirkan untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka agar usaha membangunkan sukan bola sepak di negeri ini dapat digembleng dan diperkasakan,” katanya.
Kenyataan itu menambah, pemeteraian MoU itu esok akan dapat memulakan era baharu pembangunan bola sepak di Sabah secara berterusan.
Pembangunan bola sepak berkenaan akan turut membabitkan proses pewujudan sebuah akademi bola sepak SAFA kemudian.
-Deasoka