Kota Kinabalu: Tiket perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC menentang Kuala Lumpur City FC, malam Khamis ini, sudah terjual mencecah lebih 6,000 tiket.
Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, perlawanan dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam namun penonton digalakkan supaya masuk seawal jam 5 petang.
Katanya, ia bagi mengelakkan kesesakan terutamanya di pintu masuk stadium yang akan membanjirik Stadium Likas bagi memberi sokongan padu kepada pasukan Sabah FC.
“Setakat ini, lebih 6,000 tiket perlawanan sudah terjual dan kita menjangkakan lebih ramai peminat serta penyokong Sabah FC akan hadir pada perlawanan berkenaan.
“Bagaimanapun, kita akan terus memandang serius terhadap pematuhan keselamatan penonton hadir termasuk pencegahan penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shamsuddin berkata, penyokong juga digesa supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak sesekali membaling botol atau sampah masuk ke dalam kawasan padang.
“Kita sekali lagi mengalakkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan.
“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.
-Deasoka