PRU15: Shahelmey tumpu isu perumahan di Putatan

PRU15: Shahelmey tumpu isu perumahan di Putatan

Putatan: Keperluan perumahan untuk rakyat di kawasan ini menjadi antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, perumahan menjadi isu penting di kawasan ini yang perlu diselesaikan terutama dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah yang masih ramai belum memiliki rumah.

Jelasnya, isu itu digariskan dalam manifestonya untuk Putatan selain beberapa lagi perkara penting lain termasuk berkaitan prasarana awam dan kemudahan pendidikan.

“Saya sudah melancarkan manifesto saya untuk Putatan iaitu agenda perjuangan yang akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Putatan pada 19 November ini.

“Antara fokus utama yang akan diperjuangkan ialah perumahan, prasarana, pendidikan, sosial dan kebajikan, selain perkhidmataN yang efisyen dan telus.

“Di Parlimen Putatan ini, agenda berkenaan memang begitu dekat di hati penduduk di sini, baik di Pulau Gaya sehingga ke Taman Pantai Lo Kawi,” katanya pada program kempen bersama jentera BN di Pusat Daerah Mengundi Muhibbah, Kampung Contoh, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, berkata pengundi muda, khususnya yang pertama kali mengundi pada PRU15 perlu diberi bimbingan untuk membuat pilihan tepat ketika mengundi.

“Kali ini ramai pengundi orang muda, termasuk di PDM Muhibbah, Putatan ini. Ramai di antara mereka yang pertama kali mengundi, jadi mereka memerlukan bimbingan parti apa yang perlu diundi,” katanya.

Katanya, jentera parti mempunyai tugas penting dalam meyakinkan pengundi, lebih-lebih lagi golongan muda supaya memilih BN pada PRU15 ini.

Kerusi Parlimen Putatan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat dengan penyandangnya, Awang Husaini Sahari (PH), Poyne B Tudus @ Patrick Payne (PEJUANG) dan Ahmad Mohd Said (WARISAN).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|