Maritim Malaysia rampas 110 kotak minyak masak bersubsidi

Maritim Malaysia rampas 110 kotak minyak masak bersubsidi

Lahad Datu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan satu lagi cubaan menyeludup keluar barang bersubsidi selepas berjaya merampas 1,870 kilogram minyak masak.

Semua minyak masak berkenaan cuba diseludup menggunakan dua bot enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran yang ditahan di kedudukan 0.5 batu nautika selatan, Perairan Felda Sahabat, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Anggota Maritim Malaysia bersama minyak masak yang dirampas dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya melancarkan operasi berdasarkan maklumat awal risikan berhubung aktiviti penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

Katanya, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan operasi penguatkuasaan kemudiannya berjaya mengesan kedua-dua bot berkenaan.

“Menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, tekong bersama beberapa awak-awak kemudiannya dikesan melarikan diri dengan terjun ke laut.

“Semua suspek berkenaan kemudiannya dilihat naik ke daratan terdekat sewaktu bot merapat ke lokasi ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, semua 110 kotak minyak masak berkenaan dianggarkan bernilai RM52,903 termasuk nilai subsidi ditanggung kerajaan berjumlah RM8,228.

“Aktiviti penyeludupan minyak masak ini juga akan menyebabkan 1,700 keluarga terkesan sekiranya diperuntukkan dua kilogram untuk satu keluarga.

“Minyak masak bersubsidi ini diberikan berdasarkan kebenaran dan dibawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katannya.

Sehubungan itu, Nk Mohd Rizam berkata, hasil tangkapan diserahkan kepada Unit Siasatan Zon Maritim Lahad Datu untuk siatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 untuk tindakan lanjut.

Katanya, Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu.

“Orang ramai juga diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|