PRU-15: Jangan guna kempen ‘fitnah’ – Yakub Khan

PRU-15: Jangan guna kempen ‘fitnah’ – Yakub Khan

Kota Kinabalu: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepanggar, Datuk Yakub Khan mengingatkan semua pihak yang bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya tidak menggunakan pendekatan kempen yang boleh mencetuskan perbalahan masyarakat.

Beliau berkata, semua calon haruslah melaksanakan proses kempen secara berhemah dan tidak menabur fitnah untuk menjatuhkan calon parti lain.

Yakub Khan ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Sepanggar.

“Semua pihak berkempenlah dengan cara beretika, bukannya mengamalkan cara berkempen yang boleh memecahbelahkan masyarakat dengan menabur fitnah demi untuk melindungi kesilapan yang dilakukan mereka sewaktu menjadi kerajaan sebelum ini.

“Menutup kelemahan dengan menuding jari kepada orang lain bukanlah satu perkara yang baik, sebaliknya, calon yang bertanding mewakili semua parti harus menawarkan apa yang kita boleh berikan kepada rakyat Sabah.

“Kita berharap menerusi pendekatan seumpama ini, rakyat mempunyai kesedaran siapa calon yang terbaik untuk mereka pilih bagi mewakili rakyat di Parlimen Sepanggar,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Sepanggar, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab video tular membabitkan dirinya yang memperlihatkan seolah-olah beliau menolak pertanyaan seorang individu yang didakwa memerlihatkan sikap sombong.

Turut hadir pada majlis sama, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai video tular terbabit, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah menjelaskan video berkenaan bukan baharu atau berlaku dalam kempen PRU15.

“Selepas kita memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), saya membawa Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai bagi melihat sendiri permasalahan air dan jalan raya kampung yang ada dalam kawasan DUN berkenaan.

“Bagaimanapun, ada pihak kurang bertanggungjawab hanya mengambil singkatan daripada perkataan bahawa ‘banyak lagi kawasan yang mahu kami lawati’.

“Memang benar saya berkata begitu tetapi bukan dengan niat menidakkan orang untuk kita ditemuduga namun hanya mengejar masa singkat yang ada buat menteri pada waktu itu untuk melawat semua kawasan terkesan masalah air.

“Perkara seperti ini saya lihat adalah idea-idea orang yang ketandusan isu di kawasan ini. Oleh itu, mereka berbuat fitnah seumpama itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|