Pondok disyaki digunakan penjenayah rentas sempadan dirobohkan

Pondok disyaki digunakan penjenayah rentas sempadan dirobohkan

Lahad Datu: Empat struktur pembinaan pondok yang dipercayai menjadi lokasi persinggahan penjenayah rentas sempadan di perairan Hammerhead, di sini, dirobohkan, Sabtu lalu.

Ia dijalankan dalam operasi Op Gasak Laut membabitkan ESSCOM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pasukan operasi meletakkan notis di pondok yang berpenghuni untuk arahan pengosongan.

Operasi turut disertai Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Kesihatan Lahad Datu.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pondok-pondok yang tidak berpenghuni itu dipercayai menjadi tempat persinggahan penjenayah rentas sempadan.

Pasukan operasi Op Gasak Laut turut melakukan pemeriksaan terhadap seramai 63 individu dalam operasi berkenaan.

Katanya, ia membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Dalam operasi ini, sebanyak 18 pondok di kawasan tanah kerajaan diperiksa. 14 daripadanya berpenghuni dan terus diberikan notis untuk keluar daripada kawasan.

“Dalam operasi sama juga, 63 individu berjaya diperiksa, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hamzah berkata, operasi Op Gasak Laut ini diadakan bertujuan untuk mengambil tindakan ke atas pondok-pondok haram yang didirikan di sekitar daerah ini.

Katanya, dalam operasi sama, pihaknya juga memastikan setiap struktur yang dibina mempunyai lesen atau kebenaran dari pihak berkuasa.

“Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan ke daerah-daerah lain dalam kawasan ESSZONE.

“Tindakan ini, adalah bagi memastikan setiap struktur yang dibina tidak disalahgunakan oleh penjenayah,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Hamzah menasihatkan pemilik-pemilik struktur mendapatkan kebenaran atau lesen untuk pondok yang dibina supaya tidak dikenakan tindakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|