Piala FA: Respect FC tunduk ke atas Sabah

Piala FA: Respect FC tunduk ke atas Sabah

Kota Kinabalu: Respect FC terpaksa tunduk ke atas Sabah selepas dibolosi 2 – 0 dalam aksi pertama Piala FA 2022 di Stadium Likas, malam ini.

Kedua-dua gol Sabah FC itu dihasilkan pada minit ke-50 dan ke-85 masing-masing menerusi Ummareng Bacok dan Nazirul Naim Che Hashim.

Antara aksi menarik perlawanan Piala FA di antara Sabah FC dan Respect FC di Stadium Likas. Pix ihsan Mohd Adam Arinin

Gol Ummareng terhasil menerusi tandukannya di hadapan gawang yang gagal dihalang penjaga gol Respect FC, Muhamad Syafiq Sabaruddin hasil hantaran Amri Yahyah.

Ia menyebabkan bola meluru terus ke dalam gawang Respect FC sekali gus menghasilkan gol pertama untuk skuad Sang Badak.

Meskipun dilihat lebih banyak diasak, Respect FC yang bermain dalam Liga M3 pada musim ini turut mencipta peluang menarik dan berbahaya, antaranya pada minit ke-60 yang hampir menjaringkan gol.

Bagaimanapun, situasi getir di hadapan gawang Sabah itu dapat diselamatkan penjaga gol, Damien Lim apabila sempat mendakap bola yang sebelumnya terlepas, mungkin disebabkan licin berikutan hujan lebat.

Hujan lebat ketika permainan pada separuh masa kedua itu juga tidak menjejaskan aksi kedua-dua pasukan, malah pemain Respect FC dilihat semakin agresif selepas gawang mereka dibolosi.

Namun, pemain Sabah dapat mengawal semula permainan dan melakukan serangan ketika perlawanan semakin hampir ke penghujung, sebelum berjaya menambah gol kedua pada minit ke-85 hasil tendangan lintang Nazirul Naim.

Keputusan 2 – 0 yang memihak kepada Sabah FC itu kekal hingga ke wisel penamat sekali gus memberi keselesaan kepada skuad Sang Badak untuk meneruskan aksi dalam Piala FA musim ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|