PGA usir lima PATI Filipina cuba masuk perairan negara

PGA usir lima PATI Filipina cuba masuk perairan negara

Semporna: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke perairan negara ini gagal selepas berjaya dikesan sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) di perairan Utara Pulau Mataking, di sini, kelmarin.

Semua warga asing berusia tiga hingga 55 tahun dari negara Filipina itu dikesan masuk ke perairan negara ketika rondaan Op Benteng/ Op Taring dilakukan di kawasan berkenaan, kira-kira jam 10.30 pagi.

PATI diusir keluar selepas menceroboh masuk perairan negara di Semporna.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bot yang dinaiki semua warga asing terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, Batalion 14 PGA Tawau menggunakan bot Banggi 29 kemudian mengekori dan berjaya memintas sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah dan memasuki perairan negara ini secara salah.

“Soal siasat didapati mereka adalah warga Filipina yang ingin ke Semporna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, bot berkenaan kemudiannya diusir dengan diiringi sehingga keluar dari perairan negara.

“Pengusiran dibuat dan bot berkenaan diiringi keluar daripada perairan negara serta mereka diarah supaya tidak memasuki lagi perairan Malaysia secara salah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|