Kota Kinabalu: Teruskan usaha dalam mempertingkatkan kemudahan asas khususnya bagi penduduk yang tinggal di luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Mokran Ingkat berkata, antara yang perlu diberi tumpuan adalah liputan internet, jalan raya dan bekalan air.
“Kita masih lagi ternanti-nanti hasil program jendela dan lain-lain inisiatif peningkatan liputan internet tetapi belum lagi mencapai seperti yang sepatutnya. Kerana kita mendapati liputan belum memuaskan dan belum stabil.
“Keresahan masyarakat masih lagi berkisar kepada isu asas yang utama seperti jalan dan air. Isu jalan bukan sahaja jalan utama, tetapi jalan-jalan kampung juga masih menghantui penduduk dan sudah tentu kami selaku wakil rakyat.
“Saya berharap daripada jumlah peruntukan perbelanjaan khas sebanyak RM2.369 billion, akan lebih banyak disalurkan untuk menyelesaikan masalah infrastruktur asas, khususnya penurapan jalan raya di kampung-kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan meningkatkan bekalan air di negeri ini.
Namun, apa yang menggusarkan adalah kelewatan pelaksanaan projek-projek berkaitan kemudahan bekalan air.
“Contohnya, Projek Bekalan Air Tawau yang baru mencapai 6.93 peratus dan Projek Empangan Kaiduan/Papar yang masih diperingkat kajian.
“Kita berharap kerajaan memberikan perhatian yang sangat serius untuk mempastikan bekalan air siap pada waktunya,” katanya lagi.
-Deasoka