Perjumpaan Madius dan Ewon serlahkan kematangan, fokus Wawasan UPKO

Perjumpaan Madius dan Ewon serlahkan kematangan, fokus Wawasan UPKO

Penampang: Pertemuan di antara Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau dan Naib Presiden Datuk Ewon Benedick menyerlahkan kematangan dan fokus wawasan parti untuk negeri Sabah.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan hal-hal parti dan isu-isu politik semasa.

Katanya, beliau turut menjemput Ewon untuk merasmikan mesyuarat agung tritahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran pada 12 Julai ini.

“Sembang-sembang dengan YB Datuk Ewon Benedick terkait hal-hal parti dan isu-isu politik semasa. Dengan izin Tuhan kita bina dan perjuangkan bersama Wawasan UPKO untumenerajui Perjuangan Rakyat.

“Selaku Ketua Bahagian UPKO Tuaran, saya menjemput dia untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan (MAT) Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Generasi Muda UPKO Bahagian Tuaran secara serentak pada 12 Julai 2022,” katanya.

Paparan berkenaan mendapat reaksi positif terutama dalam kalangan ahli-ahli parti sekali gus menyerlahkan kematangan dan semangat kekeluargaan yang tinggi.

Sementara itu, Ewon menyifatkan pertemuan berkenaan adalah satu perjumpaan biasa tetapi mustahak.

Katanya, ia kerana kedua-dua mereka akan menghadiri sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini untuk mengangkat isu-isu rakyat.

“Kami berbincang mengenai isu-isu yang akan dibawa ke sidang masing-masing terutama sekali cabaran dan bebanan rakyat akibat kenaikan mendadak kos sara hidup.

“Ia juga termasuk hal-hal berkaitan dengan hak-hak Sabah melalui Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan menyampaikan ucapan perbahasan saya bukan hanya mewakili rakyat Kadamaian, tetapi juga harus mewakili parti,” katanya.

Ewon berkata, petemuan itu juga membincangkan saman pemula yang dibuat terhadap Kerajaan Persekutuan berkaitan dengan pungutan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah yang akan didengar pada 14 Julai depan.

Ditanya sama ada mereka membincangkan perkara berkaitan pemilihan parti, Ewon berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada hal-hal parti yang dibincangkan.

“Mesyuarat-mesyuarat agung di peringkat Bahagian sedang berjalan. Masih ada enam Bahagian yang akan bermesyuarat dan seterusnya Kongres UPKO akan diadakan.

“Kami bersetuju untuk menghormati pandangan dan keputusan yang dibuat oleh semua Bahagian. Yang pentingnya, fokus kita adalah kepada Wawasan UPKO sepertimana dalam perlembagaan parti dan bersama-sama terus mengangkat isu-isu rakyat dan hak-hak Sabah,” katanya.

Kongres UPKO tahun ini dijangka akan memperlihatkan pertandingan jawatan presiden di mana kedua-dua Madius dan Ewon merupakan calon untuk jawatan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|