Penunggang, pembonceng motosikal maut dirempuh pacuan empat roda

Penunggang, pembonceng motosikal maut dirempuh pacuan empat roda

Tawau: Dua lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di kilometer 60 Jalan Tawau-Kunak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.25 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Usman Jamal, 30 dan pemboncengnya Aziz Shamsudin, 16 tahun.

Motosikal yang dinaiki mangsa terseret lebih 50 meter selepas dirempuh pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux itu dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.

Katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux terbabit dipercayai gagal melihat motosikal di hadapannya dan terus merempuh kedua-dua mangsa.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terseret hampir 50 meter manakala pemboncengnya pula ditemui lebih 200 meter dari impak perlanggaran.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemboncengnya yang parah disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, pemandu kenderaan yang juga pengurus sebuah syarikat tampil ke Balai Polis Tawau pada jam 1.30 tengah hari tadi untuk memberikan keterangan.

Katanya, pemandu kenderaan berkenaan terus ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|